Was-was (bisikan tipudaya Syaitan)

Jika, semasa solat, seseorang berasa was-was (bisikan tipudaya) daripada Syaitan, yang menyebabkan beliau teragak-agak dalam bacaan , yang membuatkan beliau terfikir sesuatu yang buruk dan membuatkan beliau ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat yang sudah ditunaikannya, apakah yang perlu beliau lakukan?

Perkara ini berlaku kepada seorang sahabat Rasulullah (s.a.w) , namanya 'Uthmaan ibn Abi al-'Aas (r.a.). Beliau datang berjumpa Rasulullah (s.a.w) dan mengadu tentangnya: "Syaitan menggangguku didalam solatku, dan menyebabkan aku teragak-agak didalam bacaanku." Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Syaitan itu dipanggil Khanzab. Jika kamu merasa kehadirannya, mintalah perlindungan daripada Allah dan ludah (ludah kering) ke kiri kamu sebanyak 3 kali." Selepas daripada itu 'Uthmaan berkata: "Aku melakukan apa yang Rasulullah (s.a.w) suruh dan Allah telah menjauhkan dia (syaitan) daripada aku." (Saheeh Muslim, no. 2203).

Hadith ini menyatakan 2 cara untuk menghalau syaitan yang cuba mengganggu didalam solat. Cara yang pertama ialah dengan meminta perlindungan kepada Allah daripada kejahatan syaitan (a'udzubillahi minas syaithaanirrajiim) , walaupun dengan mengucapkan perkataan ini semasa solat - perbuatan ini tidak menyalahi apa-apa dalam solat. Cara yang kedua ialah dengan meludah (ludah kering) ke kiri sebanyak 3 kali. Ini bermakna menghembuskan angin yang menyerupai perbuatan meludah tetapi dengan hanya sedikit air liur, selagi ianya tidak mengganggu orang di sebelahnya ataupun mengotorkan masjid.


Terlepas waktu asar dan tiba di masjid bila solat maghrib telah bermula

Jika seseorang terlepas waktu asar dan tiba di masjid bila solat maghrib telah bermula, apakah yang patut beliau lakukan?

Shaykh al-Islam Ibn Taymiyah (rahimahullah) berkata: Beliau perlu solat maghrib bersama imam, kemudian solat asar, sepertimana yang dipersetujui oleh kesemua ulamak muktabar. Persoalan tentang samada beliau perlu mengulangi solat maghribnya itu, terdapat dua pendapat. Pendapat pertama ialah beliau perlu mengulanginya; ini adalah pendapat Ibn 'Umar, Maalik , Abu Haneefah dan pendapat masyur Imam Ahmad. Pendapat kedua ialah beliau tidak perlu mengulangi solatnya tadi; ini adalah pendapat Ibn 'Abbaas dan al-Shaafi'i, dan juga pendapat kedua Imam Ahmad. Pendapat kedua adalah lebih sesuai, kerana Allah tidak mewajibkan seseorang itu mengerjakan solat dua kali walaupun beliau sangat takut pada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui. (Majmoo' Fataawa Ibn Taymiyah, 22/106).


Ada ketukan di pintu semasa seseorang sedang solat atau seorang ibu terlihat anaknya melakukan sesuatu yang merbahaya

Jika ada ketukan di pintu semasa seseorang sedang solat atau seorang ibu terlihat anak kecilnya bermain dengan sesuatu yang boleh mengakibatkan kejutan elektrik atau seumpamanya yang merbahaya , apakah yang perlu dilakukannya?

Jika seseorang yang sedang solat perlu melakukan pergerakan yang ringan, seperti membuka pintu, adalah tidak menjadi kesalahan, selagi beliau sentiasa menghadap ke kiblat.

Dalil tentang perkara ini ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawood daripada 'Aa'ishah (r.a) yang berkata: " Suatu ketika Rasulullah (s.a.w) bersolat dengan pintu tertutup. Saya balik dan memintanya membukakan pintu, maka baginda pun datang dan membuka pintu itu untuk saya, kemudian baginda kembali semula ketempat solatnya " Periwayat hadith ini ada menyebut bahawa pintu tersebut adalah terletak di arah kiblat. (Sunan Abi Dawood, no. 922; Saheeh Sunan Abi Dawood, 815).

Sama juga keadaannya jika seorang ibu sedang solat dan perlu mengalihkan anak kecilnya daripada sesuatu yang merbahaya atau yang boleh menyebabkan kecederaan atau sebagainya. Maka pergerakan yang ringan seperti ke kanan, ke kiri, ke hadapan atau ke belakang tidak merosakkan solatnya. Begitu juga jika ridaa' (pakaian sebelah atas spt. kain serban yang di gunakan oleh orang lelaki untuk menutup kepala) seseorang terlucut, beliau boleh mengambilnya, dan jika izaar (kain pelikat) nya longgar, beliau boleh mengetatkannya. Dalam kes tertentu, hukum syariah membolehkan pergerakan yang banyak semasa solat, walaupun ini bermakna beralih daripada arah kiblat, sebagaimana didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurayrah (r.a.): "Rasulullah (s.a.w) bersabda: 'Bunuhlah dua benda hitam walaupun semasa solat iaitu ular dan kalajengking.'" (Sunan Abi Dawood, no. 921; Saheeh Sunan Abi Dawood, 814).



0 Comment